Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menjangkakan Henrikh Mkhitaryan akan kembali beraksi dalam saingan suku akhir Piala FA berdepan Chelsea pada 13 Mac ini.

Mkhitaryan diketepikan sejak mengalami kecederaan hamstring selepas menyumbat gol tunggal dalam aksi pusingan 32 Liga Europa berdepan Saint-Etienne, Rabu lalu.

Pemain itu terlepas aksi final Piala EFL menentang Southampton dan turut dijangka diketepikan minggu ini berdepan Bournemouth.

Bagaimanapun, Mourinho optimis pemain berusia 28 tahun itu akan kembali ketika berdepan Chelsea.

"Mkhitaryan masih direhatkan," Mourinho memberitahu MUTV. "Dia masih belum pulih.

"Saya percaya minggu depan, terutama apabila kami perlu bertandang ke Stamford Bridge, dia akan kembali.

"Bastian Schweinsteiger turut mengalami sedikit kecederaan."

Dengan skuad utama hampir bebas daripada sebarang masalah, Mourinho lega dia kini memiliki pemain yang berkualiti bagi menghadapi jadual ketat.

"Saya memberitahu pemain bahawa mereka yang tidak beraksi minggu ini akan diturunkan dalam kesebelasan utama dalam perlawanan berikutnya," tambahnya.

"Kami perlu memastikan United turun dengan skuad berkualiti, tidak kira dalam apa jua kejohanan."