Everton akhirnya mencapai persetujuan untuk menandatangani Yerry Mina, menyaksikan pemain pertahanan itu meninggalkan Barcelona selepas mengharungi tempoh enam bulan yang mengecewakan dalam LaLiga.

Mina menyertai Barca daripada Palmeiras pada Januari lalu, namun bek tengah itu gagal menyaingi Samuel Umtiti atau Gerard Pique di dalam pasukan.

Masa depannya terus menjadi persoalan apabila Barca membawa masuk Clement Lenglet dari Sevilla, bulan lalu.

Mina, pemain antarabangsa Colombia yang menjaringkan tiga gol dalam saingan Piala Dunia 2018, hanya tampil empat kali dalam kesebelasan utama Barcelona tatkala mereka meraih gelaran juara liga.

Bagaimanapun, dia bergelut untuk membuktikan keupayaannya, sekali gus dikaitkan dengan jalan keluar dari Camp Nou sebaik sahaja tamat musim 2017/18.

Manchester United muncul pasukan yang paling kerap dikaitkan dengan Mina tetapi Everton akhirnya mencapai persetujuan apabila Barca mengumumkan perjanjian itu sejurus sebelum jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris ditutup.

Perpindahan itu menyaksikan Everton akan membayar jumlah awal kepada Barca sebanyak EUR30.25 juta (RM142 juta) dan berpotensi untuk menambah EUR1.5 juta (RM7 juta) lagi.

Barca turut meletakkan pilihan pembelian semula ke atas pemain berusia 23 tahun itu.