Pengurus Everton, Mauro Silva, mengesahkan Yerry Mina bakal terlepas aksi bertemu Southampton malam ini selepas mengalami kecederaan kaki.

Pemain bek tengah itu masih belum melakukan penampilan bersama Everton selepas melengkapkan perpindahan bernilai GBP28.5 juta (RM148 juta) daripada Barcelona, 9 Ogos lalu.

Silva menjelaskan bahawa pemain skuad Colombia itu masih belum pulih daripada kecederaan ringan, sekali gus memberi bayangan pemain yang dipinjam daripada Chelsea minggu lalu, Kurt Zouma, bakal tampil buat kali pertama buat The Toffees.

"Mina tidak boleh beraksi dalam perlawanan ini. Zouma boleh beraksi. Ketika ini, saya mempunyai pilihan di antara dia dan Mason Holgate.

"Mina masih belum pulih daripada kecederaan pada bahagian kaki. Saya berharap agar dapat memberikan anda perkembangan tentangnya minggu depan," kata Silva.

Dalam masa sama, Andre Gomes yang dipinjam daripada Barcelona, juga masih belum boleh beraksi dan Silva menjangkakan pemain tengah itu akan kembali dalam masa beberapa minggu lagi.

"Gomes mengalami kecederaan paha ketika aksi jelajah Amerika Syarikat bersama Barcelona," ujar Silva.

"Dia akan kembali bersama pasukan dalam masa beberapa minggu lagi.

"Anda tidak akan tahu bagaimana otot yang tercedera memberi tindak balas tetapi dia menunjukkan perkembangan positif dan mungkin boleh mula berlatih minggu depan."

Silva juga menegaskan Richarlison bersedia untuk beraksi walaupun pemain sayap itu mengalami kecederaan ringan sewaktu seri 2-2 dengan Wolverhampton Wanderers, minggu lalu.

"Semuanya bagus tentang Richarlison. Ia adalah aksi pertama Liga Perdana Inggeris dan kami beraksi 50 minit berbekalkan hanya 10 pemain.

"Semua pemain beraksi dengan baik. Anda harus beraksi seperti mempunyai 11 pemain. Richarlison hanya penat, tiada masalah."