LIVERPOOL 5 NAPOLI 0

Aksi sulung Alisson dengan mengenakan jersi Liverpool berakhir dengan kemenangan 5-0 ke atas Napoli di Dublin, awal pagi tadi.


Penjaga gawang Brazil itu, yang ditandatangani bulan lalu dengan perjanjian rekod dunia daripada AS Roma, tidak perlu mengerah kudratnya ketika The Reds menguasai aksi pra-musim terakhir mereka itu dan berhak membelasah kelab Serie A tersebut.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu memerlukan empat minit untuk mendahului perlawanan -- James Milner meledak gol dengan kaki kirinya dari penjuru petak penalti selepas menerima umpanan Sadio Mane.

Georginio Wijnaldum melebarkan kedudukan kepada 2-0 tidak lama selepas itu apabila menghukum kesilapan penjaga gol lawan, Orestis Karnezis, dengan menanduk masuk hantaran lintang Milner.

Peminat, bagaimanapun, perlu menunggu untuk gol ketiga Liverpool, namun jaringan itu tiba tepat sejam apabila bola bergolek ke arah Mohamed Salah di dalam kawasan penalti sebelum dia melancarkan tendangan ke arah penjuru kiri atas pintu gol.

Tidak lama kemudian, Daniel Sturridge mensia-siakan peluang untuk menyerlah sebaik dimasukkan, namun dia menebus kesilapan itu pada minit ke-73.

Alberto Moreno kemudian memastikan kemenangan bergaya beberapa detik kemudian dengan mengatasi Karnezis dari jarak 20 ela.