Milner enggan kembali sarung jersi England

By Staff Writer 3 October 2016
Milner enggan kembali sarung jersi England

Pemain Liverpool, James Milner, menegaskan dia tidak akan berganjak daripada keputusannya untuk bersara dari pentas antarabangsa meskipun menjadi antara tonggak The Reds musim ini.

Pemain berusia 30 tahun itu -- yang sebelum ini beraksi di bahagian tengah -- memulakan musim baru di posisi bek kiri, namun telah berjaya menyumbang empat gol buat The Reds, kesemuanya menerusi sepakan penalti.

Selepas membuat 61 penampilan bersama Three Lions, Milner membuat keputusan untuk bersara Ogos lalu selepas mengadakan perbincangan dengan pengendali ketika itu, Sam Allardyce.

Bekas pemain Newcastle United, Aston Villa,  dan Manchester City itu turut meluahkan rasa simpati terhadap Allarydce yang telah dipecat susulan terlibat dalam insiden penuh kontroversi minggu ini.

"Keputusan tersebut merupakan yang terbaik buat semua pihak," kata Milner kepada Sky Sports.

"Ketika ini juga, saya bermain di bahagian bek kiri dan ketika ini ada beberapa pemain di posisi itu yang lebih baik daripada saya.

"Pemecatan Allardyce sudah pasti mengecewakan dirinya, namun Gareth -- yang dilantik selaku pengendali sementara -- telah melakukan tugas yang baik bersama skuad B-21."

About Author

Staff Writer

Comment