Penyerang Tottenham, Harry Kane, menantikan aksi berdepan Millwall dalam suku akhir Piala FA, dengan menyifatkan tempoh pinjaman ke kelab itu pada awal kariernya telah membentuknya menjadi pemain mantap.

Kane menyertai The Den sebagai pemain muda pada 2012 dan selepas gagal menemui gol dalam lapan penampilan, dia kemudian berjaya meledak tujuh gol dalam 14 penampilan terakhir bersama kelab itu.

Kane, yang ketika ini mendahului senarai penjaring dalam Liga Perdana Inggeris dengan 19 gol, percaya Millwall merupakan detik penting dalam kariernya.

"Pinjaman ke Millwall memainkan peranan besar dalam pembangunan saya," jelas Kane, yang telah meledak lapan gol dalam empat perlawanan ketika ini.

"Saya baru berusia 18 tahun, kami sedang berjuang untuk mengelak daripada penyingkiran. Saya bermain dalam senario yang sukar tetapi ia memberi impak positif.

"Saya menikmati masa yang baik di kelab itu, jadi sudah tentu menarik untuk berdepan mereka kali ini. Banyak perkara sudah berubah tetapi saya menantikan pertemuan itu."