Penjaga gawang Liverpool, Simon Mignolet, menjangkakan dia akan kembali mendapat tempatnya untuk pertemuan menentang Manchester United dan berazam untuk merebut kembali posisinya jika tercicir.

Ketua jurulatih, Jurgen Klopp, memilih Loris Karius untuk dua perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum tempoh rehat perlawanan antarabangsa, di mana The Reds berjaya membenam Hull City dan Swansea City.

Setakat ini, belum pasti siapakah yang bakal diturunkan ketika perlawanan di Anfield itu, namun Mignolet berharap dia akan kembali beraksi selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan pada awal musim ini.

"Saya melihat secara positif dan menjangkakan akan beraksi menentang United," katanya dalam sidang media.

"Saya masih lagi memiliki keyakinan berikutan permulaan baik saya dalam liga. Ketika berdepan Arsenal, Tottenham Hotspur dan Leicester City, saya memainkan watak penting dengan beberapa aksi menyelamat yang bagus."

Anak buah Klopp berhasil memenangi lima daripada tujuh perlawanan liga dan kini berada dua mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Mignolet berkata dia akan terus berjuang untuk merebut tempat jika dia terlepas kesebelasan utama menentang United, yang kini menduduki tempat keenam.

"Saya tidak tahu apa yang akan jurulatih tentukan," katanya.

"Saya hanya boleh memastikan saya bersedia 100 peratus. Sama ada saya akan beraksi atau tidak, ia tidak akan mengubah persiapan saya.

"Bukan karektor saya untuk tidak memberi 100 peratus (komitmen)."

Pertembungan Liverpool dan Manchester United akan berlangsung pada 18 Oktober, jam 3 pagi.