Mertesacker yakin Luiz akan perbaiki kesilapan

By Staff Writer 12 September 2019 322
Mertesacker yakin Luiz akan perbaiki kesilapan
David Luiz akan belajar daripada kesilapan yang dilakukan ketika memulakan kariernya di Arsenal, kata Per Mertesacker.

Pertahanan itu bergelut sejak tiba daripada Chelsea, melakukan kesilapan mudah sewaktu aksi Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool dan seteru London, Tottenham Hotspur.

Arsenal yang kini menduduki tangga kelima liga akan berkunjung ke Watford dan pengurus akademi The Gunners, Mertesacker, yakin bek tengah Brazil itu akan bangkit.

"Saya fikir dia akan belajar daripada kesilapannya di atas padang tetapi dia selesa bersama Arsenal," katanya.

"Itu apa yang saya lihat. Jadi, kami gembira memilikinya.

"Dia memberikan sesuatu kepada pasukan sekarang. Jadi, saya fikir dia akan belajar dan mencapai tahap sebenar bergelar pemain Arsenal."

Arsenal bermula dengan rangkaian tiga penyerang buat pertama kali ketika berdepan Spurs tatkala pengurus, Unai Emery, memilih untuk menggandingkan Nicolas Pepe, Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette di bahagian depan.

Lacazette dan Aubameyang menjaringkan gol untuk membantu The Gunners bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk meraih satu mata tetapi Mertesacker berpendapat Arsenal memerlukan semakan taktikal.

"Saya rasa kami kurang seimbang ketika ini. Benar, kami memiliki barisan depan yang mantap tetapi mereka juga perlu faham keperluan untuk mempunyai pengukuhan dalam pasukan," tambahnya.

"Ia bukan mengenai tiga penyerang yang menghadirkan ancaman. Ia juga melibatkan unit pertahanan.

"Jadi, saya fikir kami perlu sedar tentangnya. Tidak kira betapa hebat penyerang anda miliki, anda perlu fikirkan aspek kekuatan di bahagian benteng pasukan."

About Author

Staff Writer

Comment