Kapten Arsenal, Per Mertesacker, tidak gembira dengan reaksi rakan sepasukannya selepas Watford menjaringkan gol penyamaan dalam pertemuan yang menyaksikan Arsenal tewas 2-1 menerusi gol minit terakhir perlawanan, awal pagi tadi.

Bekas pertahanan Jerman itu memberikan pendahuluan buat Gunners di Vicarage Road menerusi tandukan dalam babak pertama.

Bagaimanapun, Troy Deeney menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-71 sebelum Tom Cleverley mengesahkan kemenangan buat tuan rumah pada minit terakhir perlawanan.

Walaupun Mertesacker tidak pasti mengenai keputusan pengadil memberikan penalti kepada lawan, dia jelas kecewa dengan pemain-pemain Arsenal yang gagal memberikan reaksi positif terhadap gol penyamaan itu.

"Saya tidak pasti. Secara jujur, ia berlaku dengan pantas dan saya tidak dapat melihatnya dengan jelas. Pengadil telah melakukan keputusan.

"Bagi saya, ia adalah satu peringatan untuk tidak leka, malangnya pemain-pemain tidak menyedarinya," kata Mertesacker.

Pemain tinggi lampai itu turut mengatakan bahawa Arsenal melepaskan peluang untuk menang walaupun mengawal hampir keseluruhan permainan.

"Kami tidak mampu menggunakan peluang yang ada dan dalam bola sepak, jika anda gagal menggunakan setiap ruang, anda akan terlepas segala-galanya.

"Aksi pada separuh masa kedua jelas lebih longgar berbanding babak pertama.

"Jika anda sentiasa bertahan, kemudian mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol, maka anda akan sukar mendapatkan kemenangan dalam liga di England," tambahnya.