Raheem Sterling menyifatkan prestasi cemerlang Manchester City menyaksikan mereka menjadi seperti "pembunuh" selepas mengharungi rentetan kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad kendalian Pep Guardiola itu mendahului saingan EPL dengan kelebihan lapan mata, dengan City hanya keciciran dua mata selepas 13 perlawanan.

Kemenangan terbaru mereka hadir selepas melakar kebangkitan untuk menewaskan Huddersfield Town 2-1 dengan Sterling muncul wira The Citizens.

City telah menjaringkan 42 gol sejak permulaan musim dan Sterling menegaskan mentaliti pasukan merupakan tunjang kejayaan mereka.

"Kami mahu meledak gol secepat yang mungkin dan memberikan pesanan kepada lawan kami dengan kemampuan yang dimiliki," kata Sterling.

"Mentaliti yang dimiliki pasukan merupakan tunjang kejayaan kami. Kami terus berusaha dan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan.

"Kami sentiasa berusaha untuk menjadi "pembunuh" dalam setiap perlawanan, ia adalah sasaran kami dalam setiap perlawanan," katanya.

Penglibatan Sterling musim ini menjadi kebangkitan buat dirinya selepas meninggalkan Liverpool, dengan pemain sayap England itu menjaringkan 12 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Walaupun selepas 13 perlawanan, ia merupakan musim terbaiknya bersama The Citizens dan bertekad mahu terus memberikan yang terbaik buat pasukan.

"Saya hanya cuba masuk ke dalam kotak dan cuba tenang melakukan percubaan.

"Saya meletakkan sasaran buat diri saya setiap musim -- terdapat satu masa anda menghadapi kesukaran untuk mencapainya tetapi anda perlu terus berusaha melakukan lebih baik.

"Saya sangat gembira dengan pencapain pasukan setakat ini," katanya lagi.