Pengurus Everton, Ronald Koeman, mempertahankan persembahan penyerang The Toffees, Romelu Lukaku, ketika mereka tewas dalam aksi 'derby' Merseyside kepada Liverpool 3-1.

Lukaku gagal menghasilkan percubaan menepati sasaran buat kali ketiga musim ini ketika tewas 3-1 kepada Liverpool di Anfield, yang menyaksikan Everton kekal di tangga ketujuh dan ketinggalan lapan mata daripada kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).

Koeman tidak berpuas hati apabila persembahan bekas penyerang Chelsea itu menjadi bahan kritikan daripada media, yang dilihat oleh pengurus itu tidak memahami perlawanan bola sepak.

Bekas pemain profesional seperti Jamie Carragher turut mempersoalkan rekod jaringan Lukaku dalam perlawanan penting tetapi Koeman tidak gembira dengan cara layanan kepada penjaring terbanyak EPL itu.

"Bola sepak adalah permainan berpasukan, setiap individu mempunyai peranan masing-masing dan kami gagal bersaing dengan mereka. Tetapi saya berbangga dengan persembahan pasukan secara keseluruhannya," kata Koeman.

"Apa yang saya tidak gemari adalah kritikan terhadap persembahan individu selepas perlawanan tersebut.

"Terdapat beberapa pemain yang gagal menampilkan kualiti sebenar dalam beberap perlawanan sebelum ini.

"Saya tidak bercakap dengan Lukaku, dia gagal menemui sentuhannya, dia agak kepenatan. Segalanya mampu mempengauhi persembahan pemain.

"Tetapi dia adalah penjaring terbanyak liga musim ini. Mengapa perlu mengkritiknya ketika berdepan Liverpool?

"Dia adalah seorang penyerang yang bagus, dia bekerja keras setiap masa."