Antonio Conte masih menolak untuk menjadi prospek juara Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun sekiranya Chelsea mengatasi Liverpool dan Arsenal, minggu ini.

Pendahulu liga itu akan beraksi di Merseyside, awal pagi nanti, untuk mencabar The Reds yang mempamerkan prestasi buruk sejak kebelakangan ini, sebelum melayan kunjungan pesaing terdekat, Arsenal, di Stamford Bridge, Sabtu ini.

Skuad Conte kini memiliki jurang lapan mata di atas Gunners, 10 mata di depan Liverpool yang berada di tangga keempat, dengan kemenangan berturut-turut dalam dua perlawanan itu akan membawa Chelsea lebih dekat kepada trofi EPL.

Namun, bekas jurulatih Juventus itu menegaskan dia akan kekal berhati-hati bagi mengelak skuadnya terperangkap.

"Minggu in, kami akan menghadapi dua lawan yang hebat. Menentang Liverpool akan menjadi perlawanan yang sukar. Saya tahu kerana mereka tampil selepas tiga kekalahan," katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

"Kami mesti memberi perhatian sepenuhnya kerana Liverpool adalah pasukan yang benar-benar baik. Mereka juga salah satu daripada enam pasukan yang boleh berjuang hingga saat akhir untuk memenangi gelaran atau untuk tempat dalam Liga Juara-Juara Eropah.

"Ini adalah satu minggu yang penting tetapi saya sedar bahawa selepas dua perlawanan ini, kami perlu bermain 14 perlawanan lagi untuk menamatkan liga.

"Atas sebab ini, keputusannya adalah penting, tetapi kedua-dua permainan bukanlah penamat liga," tambahnya.