Pemain pertahanan, Benjamin Mendy, bakal terlepas peluang untuk menyertai skuad Manchester City ketika berkunjung ke Cardiff City bagi aksi liga malam ini kerana mengalami masalah kecederaan kaki, kata pengendali kelab, Pep Guardiola.

Mendy tidak beraksi ketika City menundukkan Fulham minggu lalu disebabkan kecederaan lutut dan dia sekali lagi terlepas peluang untuk bersama pasukan sewaktu The Citizens ditewaskan Olympique Lyon 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Bagaimanapun, Guardiola mengesahkan semalam bahawa pemain Perancis itu terpaksa disisihkan dalam kunjungan ke selatan Wales ekoran masalah pada bahagian metatarsal.

"Mendy mengalami kecederaan," kata Guardiola.

"Saya tidak tahu secara terperinci tetapi dia mengalami masalah dengan tulang pada kakinya."

Walaupun Guardiola mendedahkan bahawa bahagian buku lali Mendy yang mengalami masalah, pihak kelab kemudian menjelaskan kaki Mendy yang menjadi isu utama.

Selepas mengharungi sebahagian besar musim lalu di luar padang akibat kecederaan lutut, Mendy kembali dalam skuad musim ini dan tampil dalam empat daripada lima perlawanan liga.