Membenarkan gol mudah sudah menjadi satu penyakit buat Sunderland, kata pengendalinya, David Moyes, selepas menyaksikan anak buahnya tewas 2-0 berdepan West Brom, semalam.

The Baggies berada di depan menerusi Darren Fletcher sebelum Chris Brunt menyumbang gol kedua hasil kelonggaran pertahanan The Black Cats pada separuh masa kedua.

Kemenangan epik Swansea City ke atas Liverpool menyebabkan Sunderland kini jatuh ke kedudukan tercorot liga.

"Kami bermain dengan baik pada babak kedua berbanding 45 minit pertama. Kami memberikan gol mudah kepada lawan dan ia seperti satu penyakit yang kami alami ketika ini," Moyes memberitahu BBC Sport.

"Gol pertama sememangnya disempurnakan dengan baik oleh Fletcher."

Moyes turut mengakui ketiadaan Lamine Kone -- yang beraksi bersama Ivory Coast dalam Piala Negara-Negara Afrika -- di bahagian pertahanan menyebabkan kelonggaran yang ketara, namun pengendali dari Scotland itu yakin Sunderland masih berpeluang untuk keluar dari zon penyingkiran.

"Kami kehilangan Lamine Kone, dia seorang yang cukup berpengaruh di bahagian pertahanan," tambahnya.

"Ketiadaanya menyebabkan kami sedang mengharungi saat yang getir. Pemain sering melakukan kesilapan dan saya akan memikul tanggungjawab itu.

"Kami masih mampu keluar dari zon penyingkiran. Kami perlu terus berjuang dan berharap keputusan yang positif akan hadir. Kami telah memberikan tiga gol mudah setakat ini, namun permainan kami masih baik."