Pemain Manchester United, Scott McTominay, berharap dapat membalas peluang yang diberi oleh pengendali, Jose Mourinho, kepadanya musim ini selepas menembusi skuad utama The Red Devils.

Bintang muda yang beraksi di posisi tengah itu melakukan penampilan sulung musim lalu dan sehingga kini telah mencatat 17 kali aksi perlawanan, termasuk aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah di Seville.

Mourinho dikenali dengan sikap tidak begitu mementingkan perkembangan pemain muda ketika mengendalikan Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid, yang membuatkan McTominay sedar bahawa dia terhutang budi dengan pengurus dari Portugal itu.

"Jelas sekali, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada perkembangan saya dan Jose Mourinho adalah satu daripadanya," kata pemain berusia 21 tahun itu.

"Dia meletakkan kepercayaan kepada saya dalam perlawanan penting, jadi pujian harus diberikan kepadanya. Jika bukan kerana Mourinho, saya mungkin tidak berpeluang untuk beraksi dan membuktikan kebolehan saya menyarung jersi United.

"Tiada apa yang membuatkan saya puas apabila diberi peluang beraksi dalam perlawanan besar. Aksi Liga Juara-Juara menentang Sevilla, sama juga dengan pertemuan dengan Chelsea dan Liverpool sebelum itu.

"Bagus rasanya apabila meraih kepercayaan pengurus. Saya berharap dapat membalas tanggungjawab yang diberikan," ujarnya.