Liverpool yakin kecederaan otot terkoyak yang dialami oleh Joel Matip ketika berdepan Borussia Dortmund tidak melibatkan tempoh yang panjang tetapi dia tidak akan beraksi dalam baki saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC).

Matip terpaksa dikeluarkan ketika babak pertama berbaki separuh dalam pertemuan yang menyaksikan Dortmund menundukkan The Reds 3-1 di Charlotte.

Pengurus, Jurgen Klopp, nyata gusar memikirkan kecederaan paha yang dialami berkaitan masalah yang dihadapi sehingga membuatkan pertahanan itu tidak dapat beraksi dalam final Liga Juara-Juara Eropah, musim lalu.

"Ia bukan kecederaan sama tetapi melibatkan otot lain. Jelas sekali ia adalah otot. Diharapkan ia hanya sedikit terkoyak," katanya.

Klopp mengharapkan perkembangan positif mengenai pemain berusia 26 tahun itu tetapi semalam Liverpool mengesahkan kecederaan itu menyebabkan Matip terpaksa dihantar pulang ke Merseyside.

"Matip akan meninggalkan kempen pra-musim di Amerika Syarikat untuk melalui proses pemulihan terhadap kecederaan otot yang dialami ketika berdepan Borussia Dortmund," kata wakil kelab itu.

"Pertahanan itu mengalami masalah ketika aksi dalam babak pertama sewaktu beraksi dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa dan terpaksa digantikan serta-merta.

"Bagaimanapun, kecederaan otot yang dialami dijangka tidak memerlukan masa yang lama tetapi dia tidak dapat beraksi dalam dua baki perlawanan di Amerika Syarikat.

"Dia akan kembali ke Merseyside dan meneruskan proses pemulihan di Melwood."