Pertahanan Liverpool, Joel Matip, kembali cergas untuk terbabit dalam perlawanan tumpuan dengan Manchester United jika khidmatnya diperlukan.

Pemain berusia 28 tahun itu terlepas kemenangan ke atas Salzburg dan Leicester City di tempat sendiri sebelum rehat antarabangsa lalu berikutan kecederaan ringan di Sheffield United, 28 September lalu.

Bagaimanapun, Matip kembali menjalani latihan semalam dan menyasarkan tempat dalam skuad utama sempena pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan United di Old Trafford, malam Ahad ini.

"Saya kembali menjalani latihan dan berasa baik. Sudah tentu, jika khidmat saya diperlukan, saya akan berada di sana," katanya kepada laman sesawang rasmi kelab itu.

"Kecederaan boleh berlaku kepada setiap pemain. Kini saya sudah kembali, saya harap boleh kekal cergas dan dapat memberi tumpuan kepada perkara positif."

Penjaga gol, Alisson Becker, yang telah diketepikan ekoran kecederaan betis yang dialami dalam kemenangan 4-1 ke atas Norwich City dalam perlawanan pembukaan EPL, turut kembali ke gelanggang latihan minggu ini.

Pasukan kendalian Jurgen Klopp itu selesa menerajui puncak liga dengan kelebihan lapan mata di depan pencabar terdekat, Manchester City, sementara United --- yang kehilangan Paul Pogba selain kecergasan David de Gea dalam keraguan -- dipisahkan dengan 15 mata selain menduduki tangga ke-12.