Nemanja Matic berkata dia tidak ada sebarang masalah dengan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, ketika pemain tengah Manchester United itu bergelut mendapatkan masa beraksi di Old Trafford.

Matic diketepikan daripada kesebelasan utama United musim ini, dengan pemain berusia 31 tahun itu melakukan penampilan pertama sebagai pemain gantian minggu lalu.

Tidak diturunkan dalam tiga perlawanan pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), pemain kebangsaan Serbia itu beraksi selama 22 minit ketika United seri 1-1 dengan Southampton.

Dengan Solskjaer lebih berminat untuk menurunkan Paul Pogba dan Scott McTominay di bahagian tengah, masa depan Matic bersama pasukan kelihatan semakin menuju ke jalan keluar.

Bercakap menjelang pertemuan Serbia dengan Portugal dalam saingan kelayakan Euro 2020, Sabtu ini, Matic -- yang berhijrah daripada Chelsea pada 2017, berkata, "Solskjaer seperti tidak memerlukan saya dalam dua atau tiga perlawanan pertama.

"Saya berusaha dengan sebaik mungkin dan menghormati keputusannya.

"Tiba satu ketika, saya perlu menerima hakikat perlu berada di bangku simpanan. Jurulatih telah membuat keputusan menurunkan barisan terbaik untuk mengejar gelaran dan jika gagal, beliau yang harus bertanggungjawab."

Matic kini membuat persiapan untuk membuat penampilan pertama bersama Serbia sejak merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Montenegro dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, November tahun lalu.

Serbia turut dibimbing pengendali baru selepas Ljubisa Tumbakovic menggantikan Mladen Krstajic, yang dipecat Jun lalu selepas tewas kepada Lithuania 4-1 dan Ukraine 5-0.

"Kami cuba mengambil kenangan pahit itu sebagai peluang untuk memperbaiki mutu permainan," kata Matic.

"Buat masa ini, kami akan berusaha untuk melayakkan diri ke Euro 2020 dan Piala Dunia selepas ini."