MANCHESTER UNITED 2 WATFORD 0

Pemain tengah Manchester United, Juan Mata, menghamburkan pujian kepada rakan sepasukannya, Anthony Martial, selepas dia mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu United meraih kemenangan 2-0 ke atas Watford, semalam.

Martial kembali beraksi dalam kesebelasan utama buat pertama kali sejak sebulan yang lalu dan menggunakan peluang itu dengan sebaik mungkin, melakukan bantuan jaringan buat gol pertama yang disumbat oleh Mata sebelum menggandakan jaringan dalam babak kedua perlawanan.

Pengendali pasukan, Jose Mourinho, mendedahkan bahawa pemain berusia 21 tahun itu gagal menghasilkan permainan cemerlang kebelakangan ini dan Mata amat teruja melihat kebangkitan yang ditampilkan oleh Martial.

"Saya sangat gembira buat dirinya," pemain kebangsaan Sepanyol itu memberitahu kepada MUTV.

"Martial mengharungi minggu yang amat mengecewakan tetapi dia sudah kembali berbisa selepas berusaha keras di dalam sesi latihan.

"Dia seorang rakan yang baik, pemain yang berkualiti dan mampu membantu pasukan mengharungi baki musim ini."

Kemenangan ini menyaksikan United melebarkan rekod tanpa kalah kepada 16 perlawanan dan Mata menyifatkan persembahan separuh masa pertama adalah antara yang terbaik buat musim ini.

"Saya berasakan kami telah bermain dengan baik. Kami menyerang, menghasilkan banyak peluang, terutama sekali pada 45 minit pertama.

"Kami mampu menjaringkan lebih banyak gol tetapi apa yang penting adalah kami meraih tiga mata penuh untuk merapatkan kedudukan di dalam liga."