Juan Mata mengakui semangat Manchester United di bawah pimpinan Ole Gunnar Solskjaer akan diuji selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut, termasuk tersingkir daripada Piala FA di tangan Wolverhampton.

United mengalami kekalahan pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Solskjaer mengambil alih ketika bertandang ke Arsenal selepas melakukan kebangkitan dalam Liga Juara-Juara mengatasi Paris Saint-Germain (PSG).

Mereka tewas 2-1 buat kali kedua di Molineux, Sabtu lalu, sekali gus United tersingkir daripada Piala FA di peringkat suku akhir.

United dilaporkan akan mengambil Solskjaer sebagai pengganti tetap Jose Mourinho walaupun pasukan itu mengalami rentetan kekalahan sebelum aksi perlawanan antarabangsa.

Mata berasakan ia adalah penting buat United untuk kembali bangkit ketika aksi di laman sendiri bertemu Watford, 30 Mac ini.

"Kami agak kecewa kerana tewas kepada Wolves, ia menyaksikan harapan kami dalam saingan itu lebur, terutama sekali selepas mengharungi pusingan kalah mati yang sukar," kata Mata.

"United telah berusaha hingga saat akhir tetapi mereka telah bermain lebih baik berbanding kami.

"Saya pasti kami akan melupakan kekalahan ini dan melihat ke hadapan untuk baki saingan musim ini."

Kebangkitan United dalam saingan UCL dengan menyingkirkan PSG menyaksikan mereka diundi berdepan Barcelona dalam pusingan suku akhir.

Kembali ke Nou Camp akan mengimbau kembali kenangan Solskjaer yang menjaringkan gol kemenangan buat United dalam masa kecederaan ketika menundukkan Bayern Munich dalam final pada 1999.

Mata menjangkakan tugas getir berdepan pendahulu LaLiga itu yang bakal diketuai Lionel Messi yang menjaringkan enam gol dalam tiga penampilan terakhirnya.

"Ia adalah satu tugas yang sukar. Tetapi inilah tujuan United dibentuk, berusaha mengatasi halangan dan memaksa pemain-pemain memberikan yang terbaik untuk mencipta kemenangan.

"Barca merupakan salah satu lawan sukar dalam bola sepak dunia, kami akan cuba sebaik mungkin dalam sesi latihan.

"Buat Solskjaer, kembali ke Nou Camp akan menjadi saat yang istimewa untuk mengimbau kenangan ketika United bergelar juara UCL."