Juan Mata mengakui dia bernasib baik untuk tidak dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras terhadap penyerang Leicester City, Jamie Vardy.

Senario tersebut berlaku pada babak pertama di Stadium King Power, dengan pengadil, Anthony Taylor memutuskan bahawa ia memadai dengan layangan kad kuning.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu kemudian meledak gol ketiga United bagi mengesahkan kemenangan 3-0 selepas Henrikh Mkhitaryan dan Zlatan Ibrahimovic menyumbang gol pertama dan kedua perlawanan pada babak pertama.

Mata teruja dengan prestasi rakan sepasukanny, namun mengakui dia sangat bernasib baik untuk kekal di atas padang.

"Terjahan saya terlalu lewat, saya cuba merampas bola, saya tidak berniat untuk mencederakan Jamie," katanya sebagai menjelaskan tindakannya kepada Sky Sports.

"Mungkin saya bernasib baik tetapi saya hanya cuba mendapatkan semula bola selepas kehilangannya 10 saat sebelum itu."

"Secara keseluruhan, permainan kami cukup baik. Kami telah menguasai perlawanan sebelum gol pertama dijaringkan.

"Gol Mkhi cukup mantap dan selepas itu kami bermain dengan cukup baik untuk menambah dua gol lagi.

"Penting untuk Mkhi dan saya menjaringkan gol kerana Zlatan sudah menyumbang gol yang banyak setakat ini."