Pemain tengah Hull City, Ryan Mason, dibenarkan keluar dari Hospital St Mary di London selepas mengalami keretakan di bahagian tempurung kepala ketika menentang Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris, lapan hari lalu.

Ketika perlawanan itu, Mason dan pemain pertahanan Chelsea, Gary Cahill, berlanggar secara tidak sengaja yang menyebabkan bekas pemain Tottenham itu mengalami kecederaan serius dan memerlukan pembedahan di Hospital St Mary.

Hull, dalam satu kenyataan berkata, pemain berusia 25 itu semakin sihat sejak minggu lalu, boleh bercakap dengan pelawat dan akan memulakan peringkat pemulihan seterusnya di rumah.

Dalam pada itu, kelab berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan hospital yang menjalankan pembedahan dan juga kepada semua pihak yang memberi sokongan selepas kejadian itu.

Doktor kelab, Mark Waller, berkata: "Bilangan mesej yang memberi sokongan semasa pemulihan Ryan (Mason) agak menggalakkan.

"Ia sudah pasti benar untuk mengatakan bahawa keluarga bola sepak berhimpun pada masa seperti ini dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghubungi kami baru-baru ini."

Mason yang menyertai Hull -- dengan rekod bayaran tertinggi kelab -- dari Tottenham, Ogos tahun lalu, telah membuat 20 penampilan musim ini dan menjaringkan dua gol.