Hull City mengesahkan pemain tengahnya, Ryan Mason, mengalami keretakan tengkorak ketika aksi Liga Perdana Inggeris berdepan Chelsea pada Sabtu.

Mason telah menjalani pembedahan di Hospital St. Mary, London dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Pemain berusia 25 tahun itu mengalami perlanggaran dengan pertahanan Chelsea, Gary Cahill, ketika memasuki minit ke-13 perlawanan.

Dia kemudian diusung keluar sambil mengenakan topeng oksigen selepas dirawat selama lapan minit sebelum dihantar ke hospital.

Satu kenyataan yang dimuat naik ke laman sesawang rasmi Hull City menyebut: "Ryan dalam keadaan stabil dan akan berehat di wad rawatan selama beberapa hari.

"Kami di Hull City mahu mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kemalangan dan Kecemasan serta Unit Pembedahan Saraf di Hospital St. Mary atas rawatan segera yang diberikan kepada Ryan."

Hull akan mengumumkan maklumat terkini pada Isnin.

Cahill, yang meneruskan perlawanan, berkata: "Saya hanya cuba untuk menanduk bola, kepala kami terhantukr. Saya harap tiada apa-apa yang berlaku."