Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson, masih bermain dalam kesakitan gara-gara masalah tumitnya, dedah Jurgen Klopp.

Pemain tengah itu terlepas tiga aksi pertama bulan ini akibat kecederaan, namun dia tampil dalam dua perlawanan terakhir menentang Manchester United dan Swansea City.

Bagaimanapun, Henderson masih mengadu tidak selesa dengan situasi kecederaannya dan Liverpool sedang memantau masalah itu dengan rapi.

Disoal apakah Henderson ditimpa masalah serupa seperti musim lalu, Klopp berkata: "Ia berbeza -- serupa tapi masih berbeza berbanding tahun lalu, kami tahu lebih mendalam mengenainya.

"Kami jarang berlatih dalam tempoh ini. Berbeza dengan pemain lain yang diarahkan berlari selama 90 minit bagi tujuan pemulihan, dia berlatih mengayuh basikal -- itulah perbezaan yang kami lakukan.

"Saya tidak mahu menggunakan frasa 'kerah'?

"Dia berasa sedikit (tidak selesa), tapi dia mampu mengharunginya."

Klopp menarik nafas lega kerana tidak berdepan isu kecederaan apabila mempersiapkan pasukannya bagi memadamkan kelebihan satu gol Southampton menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi Khamis nanti.

"Kami berdepan Southampton tahun lalu dalam perebutan piala ini dan dua pertemuan liga," katanya.

"Mereka mempunyai corak permainan menarik dan apabila berdepan dengan kami, mereka bertahan terlalu ke dalam. Bagi saya, itu tanda mereka menghormati kami.

"Kali ini, kedua-dua pasukan dalam keadaan terdesak. Mereka akan melancarkan serangan balas dalam waktu yang sesuai. Bagi kami, keputusan 1-0, 0-0 tiada bezanya.

"Perlawanan seimbang. Southampton meraih keputusan baik kebelakangan ini, tapi kami juga mahu mara ke final."