Masa telah buktikan masalah masih belenggu United -- Mourinho

By Staff Writer 16 May 2019 6125
Masa telah buktikan masalah masih belenggu United -- Mourinho
Jose Mourinho percaya kemerosotan prestasi Manchester United pada penghujung musim ini membuktikan bahawa masalah yang membelenggunya ketika bergelar pengurus kelab itu masih belum ditangani dan dibiarkan berlarutan. 

Bekas pengurus Inter dan Chelsea itu menghadapi kritikan hebat berikutan corak permainan yang diperagakan United di bawah kendaliannya meskipun dia memenangi Piala Liga Inggeris (EFL), Liga Europa serta membawa mereka meraih tempat kedua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Mourinho dipecat United, Disember lalu, selepas kekalahan 1-3 kepada Liverpool dengan United ketika itu di tangga keenam dengan 19 mata. 

Di bawah penggantinya, Ole Gunnar Solskjaer, The Red Devils mencatat 12 perlawanan tanpa kalah dalam kempen liga sebelum prestasi mereka merudum menjelang akhir musim apabila gagal memenangi lima perlawanan terakhir untuk menamatkan kempen musim ini di tempat keenam, 32 mata di belakang juara, Manchester City.

Mourinho mengingatkan penyokong kelab berkenaan bahawa penilaiannya ketika membimbing kelab itu meraih tempat kedua liga dalam kempen 2017-18 merupakan salah satu "pencapaian terbesarnya" sebagai pengurus, terbukti tepat sambil berkata perkembangan semasa telah membuktikan pendapatnya adalah benar. 

"Berkenaan United, saya hanya ingin menyatakan dua perkara," kata pengurus berusia 56 tahun itu kepada L'Equipe. "Yang pertama, masa telah membuktikannya. Kedua, masalah itu masih wujud. 

"Saya jarang melakukan analisis secara terbuka terhadap Manchester United, saya tidak mahu bercakap mengenainya dan saya mempunyai perasaan bahawa saya tidak perlu bercakap mengenainya pun. 

"Sembilan atau 10 bulan yang lalu, saya berkata selepas memenangi lapan kejuaraan, membawa United menamatkan kempen di tangga kedua mungkin merupakan pencapaian terbesar saya.

"Orang sudah mula faham sekarang," ujarnya.

Mourinho, bagaimanapun, mengunci mulut mengenai destinasi kerjayanya yang seterusnya setelah enam bulan tidak menguruskan pasukan dan adakalanya muncul sebagai pakar analisis. 

Ditanya sama ada dia berminat untuk mengambil alih tampuk pengurusan juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), selepas Thomas Tuchel membimbing mereka memenangi gelaran Ligue 1 dalam musim pertamanya tetapi diaibkan United dalam Liga Juara-Juara (UCL), Mourinho berkata: "Tidak mungkin. Anda tidak boleh melatih sebuah kelab yang sudah pun memiliki jurulatih!"

Pengurus Lyon, Bruno Genesio, mengesahkan beliau akan meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini dan reaksi Mourinho ketika ditanya sama ada dia berminat untuk berkhidmat di Stadion Groupama: "Tiada komen.

"Saya tidak menjawab soalan seperti ini."

About Author

Staff Writer

Comment