Mesut Ozil berkata masa depannya bersama The Gunners bergantung kepada sama ada Arsene Wenger terus kekal di Emirates atau tidak.

Kontak Wenger -- yang bertanggungjawab membawa masuk pemain antarabangsa Jerman itu dari Real Madrid pada tahun 2013 -- akan berakhir hujung musim ini.

Ozil mahukan kepastian terhadap situasi kontrak Wenger sebelum pemain itu mahu meneruskan perbincangan mengenai kontraknya sendiri yang akan berakhir pada 2018.

"Kelab ini tahu bahawa saya berada di sini kerana Arsene Wenger," Ozil memberitahu The Kicker.

"Dia (Wenger) yang bertanggungjawab mendapatkan saya dan dia antara beberapa individu yang saya percayai.

"Kelab ini juga tahu saya mahu penjelasan mengenai apa yang bakal dilakukan Wenger pada masa akan datang.

"Saya sangat gembira berada di Arsenal dan telah pun memberitahu pihak pengurusan bahawa saya bersedia untuk menandatangani pembaharuan kontrak.

"Peminat mahu saya kekal, jadi ketika ini segalanya terserah kepada kelab."

Sementara itu, Ozil membidas kritikan yang dilontarkan legenda Arsenal, Thierry Henry, yang sebelum ini menyatakan bahwa Ozil dan Alexis Sanchez sengaja melambatkan pembaharuan kontrak kerana mahu permintaan gaji mereka dilunaskan.

"Setiap pihak mempunyai hak untuk bersuara tetapi apa yang mereka perkatakan tidak memberi kesan kepada saya," tambah pemain berusia 28 tahun itu.

"Bekas pemain atau orang luar tidak tahu apa yang berlaku di antara saya dan kelab ini."