Anthony Martial memuji kesan positif yang dibawa Ole Gunnar Solskjaer dalam permainannya sambil mendedahkan bahawa pengurus Manchester United itu telah memberinya galakan untuk menonjolkan kemampuan sebenar.

United menang keenam-enam perlawanan kompetitif di bawah kendalian Solskjaer sejak dilantik untuk menggantikan Jose Mourinho yang kurang memberi kebebasan kepada pemain untuk menyerang.

Martial hanya menyumbat satu gol sejak ketibaan Solskjaer, iaitu ketika membelasah Cardiff City 5-1 dalam perlawanan pertama kendalian pengurus berbangsa Norway itu.

Begitupun, dia masih percaya Solskjaer memainkan pengaruh besar dengan memberitahu TV2 Norway: "Sangat bagus untuk saya dapat bekerjasama dengan pengurus yang mempunyai keinginan untuk menyerang, termasuk ketika dia bergelar bermain, sama seperti saya.

"Dia memberi nasihat yang baik, terutama ketika memberi pandangan mengenai tempat yang perlu saya berada di depan pintu gol dan cara penyudah yang berkesan. Dia banyak membantu saya.

"Nasihat terbaik yang saya terima daripadanya adalah saya perlu bermain dengan keupayaan dimiliki, jangan memberi tekanan kepada diri sendiri. Saya katakan kepada diri, saya harus membuktikan kemampuan di atas padang. Sangat bagus menerima nasihat daripada Solskjaer."

Mendedahkan amanat Solskjaer kepada pemain ketika mengadakan latihan skuad itu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini, Martial menambah: "Apa yang disampaikannya agak berbeza.

"Dia memberitahu kami tentang tekniknya sebagai pemain dan betapa bertuahnya kami dapat menjadi sebahagian daripada Manchester United.

"Kita semua tahu dia merupakan seorang pemain yang hebat. Jadi, kami memberi perhatian terhadap apa yang disampaikannya."