Anthony Martial menepis khabar angin kononnya dia akan angkat kaki dari Manchester United, dengan menegaskan dia menyayangi kelab itu dan mahu kekal selama yang mungkin.

Khidmat tonggak kebangsaan Perancis itu jarang digunakan oleh Jose Mourinho musim ini, dengan hanya membuat 10 kemunculan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun menyinar dalam musim pertamanya di Old Trafford.

Begitupun, Martial berikrar untuk tidak ke mana-mana dengan mengatakan dia mahu membalas kepercayaan yang diberikan oleh peminat.

"Saya menyayangi kelab ini, saya menyayangi Manchester United, saya menyayangi peminat Manchester United," katanya dalam sidang akhbar menjelang aksi Liga Europa dengan Saint-Etienne.

"Mereka memberikan saya keseronokan dan saya sangat senang apabila mereka mempertahankan saya. Saya cuba untuk beraksi sebaik mungkin untuk membuat mereka gembira, untuk memuaskan hati mereka.

"Apa yang saya mahukan adalah untuk kekal selama yang mungkin."

Tambah Martial, kemerosotan prestasinya musim ini adalah ekoran jarang diturunkan.

"Tahun lalu, saya kerap diturunkan, saya diturunkan dalam setiap perlawanan," katanya.

"Ketika ini, saya seronok beraksi dan kita terpaksa menunggu (peluang)."