Martial nafi bakal angkat kaki menjelang jadual padat United

By Joe Wright 6 February 2017
  Martial nafi bakal angkat kaki menjelang jadual padat United
Penggempur Manchester United, Anthony Martial, menafikan spekulasi yang mengatakan dia ingin berpindah ke Paris Saint-Germain (PSG) pada penghujung musim ini. 

Masa depan pemain kebangsaan Perancis itu dalam keraguan sejak kebelakangan ini berikutan jarang mendapat tempat di bawah bimbingan Jose Mourinho musim ini. 

Martial muncul sebagai penjaring terbanyak United dengan 17 gol pada musim 2015-16 tetapi nasibnya sama sekali berbeza sejak ketibaan Mourinho dan hanya diturunkan sekali dalam empat aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Beberapa laporan di England mendakwa pemain berusia 21 tahun itu percaya pengurusnya itu cuba menyingkirkannya dari Old Trafford, dengan PSG dikatakan berminat untuk membawanya kembali ke Ligue 1. 

Martial menggunakan akaun Twitter untuk menepis segala khabar angin tersebut dengan berkata, "Usah percaya dengan akhbar, ia tidak benar, ayuh United."

Martial hanya menonton kemenangan 3-0 United ke atas Leicester City awal pagi semalam dari bangku pemain simpanan dan dia dijangka akan terlibat dalam jadual padat yang bakal ditempuhi United. 

Skuad kendalian Mourinho itu akan berdepan Watford dalam aksi liga hujung minggu ini sebelum menghadapi pertemuan pertama pusingan 32 Liga Europa berdepan Saint-Etienne, disusuli kunjungan ke Blackburn Rovers bagi aksi Piala FA pada minggu berikutnya. 

United akan berkunjung pula ke Saint-Etienne untuk aksi timbal balik Liga Europa pada 23 Februari sebelum membuat perhitungan dengan Southampton di Wembley bagi merebut Piala Liga Inggeris (EFL) empat hari kemudian. 

About Author

Joe Wright

Comment