Anthony Martial akan kembali ke England hari ini selepas meninggalkan jelajah pra-musim Manchester United demi menyambut kelahiran anaknya.

Pemain dari Perancis itu diizinkan meninggalkan kem United sempena kempen Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Amerika Syarikat (AS) untuk kembali ke Paris, di mana anak keduanya dilahirkan minggu lalu.

Ejen kepada Martial mendedahkan bulan lalu bahawa kliennya itu ingin meninggalkan Old Trafford dan bercakap selepas kemenangan ke atas Real Madrid kelmarin, pengurus, Jose Mourinho, mendakwa dia tidak pasti sama ada pemain berusia 22 tahun itu akan kembali ke skuadnya.

Bagaimanapun, Martial mendedahkan perancangan masa depannya yang terdekat setelah memutuskan untuk meninggalkan jelajah di AS di Twitter.

Dia berkata: "Terima kasih semua atas ucapan anda. Bayi saya baik-baik sahaja tetapi keadaan ibunya adalah lebih sukar, mujurlah dia kini dalam keadaan yang lebih baik.

"Maaf tetapi keluarga akan selalu menjadi perkara utama. (Saya akan) kembali ke Manchester esok."