Louis Saha mahu Anthony Martial kekal di Manchester United dan berusaha merebut tempatnya sambil menyifatkan persaingan yang dihadapi sebagai sebahagian daripada proses di Old Trafford.

Martial menyinar ketika di bawah bimbingan Louis Van Gaal sejak tiba dari Monaco pada 2015, mencatat 11 jaringan liga dalam musim pertamanya, namun dilihat bergelut bersama skuad skuad kendalian Jose Mourinho setelah hanya tampil 18 kali dalam kesebelasan utama bagi dua musim terakhir.

Bagaimanapun, setelah wujud laporan Martial mahu meninggalkan pasukan itu ketika musim panas ini susulan kegagalan menyertai skuad Piala Dunia 2018, Saha yang merupakan bekas penyerang United mahukannya kekal.

"Tidak berada dalam pasukan adalah sebahagian daripada proses di dalam kelab besar kerana wujud persaingan," kata Saha.

"Semua orang mahu tampil dalam barisan utama bagi mencerahkan peluang dipilih ke skuad kebangsaan. Ia sukar dan tidak mudah.

"Kadangkala kita harus mencabar diri sendiri dan berusaha lebih keras. Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo boleh melakukannya kerana mereka mampu mengubah diri mereka.

"Jelas sekali, saya akan memberitahunya untuk kekal. Ia soalan yang tidak perlu ditanya.

"Martial adalah pemain yang hebat. Kepantasannya membuatkan saya gila. Saya mahukannya berada dalam keadaan terbaik bersama United. Mungkin Mourinho perlu faham bagaimana untuk mendapatkan keyakinannya," tambah Saha.