Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, mengingatkan Anthony Martial supaya meningkatkan kualiti permainannya selepas gagal memanfaatkan peluang yang ada untuk membantunya mengukuhkan tempat dalam kesebelasan utama.

Martial, 21, hanya merekodkan dua gol dalam sembilan aksi kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas dia mencuri perhatian dalam kempen sulungnya di England pada 2015-16.

Mourinho mendakwa pemain Perancis itu gagal merebut kesempatan yang diberikan.

"Saya tidak fikir dia hilang fokus. Dia hanya gagal mengambil peluang besar yang ada," ujar Mourinho kepada akhbar di United Kingdom.

"Kami memiliki lima pemain untuk merebut posisi itu -- Marcus Rashford, Jesse Lingard, Juan Mata, Henrikh Mkhitaryan dan Martial. Saya tidak boleh hanya memberikan peluang kepada pemain yang sama tanpa memikirkan usaha pemain lain.

"Apabila saya mempunyai lima pemain untuk dua posisi, saya perlu memuji persembahan hebat. Ada masanya saya perlu merehatkan pemain. Itu sahaja."

United bakal berdepan Hull City dalam pertemuan kedua Piala Liga Inggeris (EFL) pagi esok berbekalkan kelebihan dua gol secara agregat.

United kini menghuni tangga keenam EPL dan Mourinho berpendapat mereka bakal berdepan kesukaran untuk mengesahkan tiket ke perlawanan akhir EFL.

"Saya sedar ia akan menjadi situasi sukar jika kami menghadapi satu demi satu perlawanan.

"Andai kami menewaskan Hull, kami akan beraksi dalam perlawanan akhir dan tidak akan menentang Manchester City (ditunda)," katanya.

"Dan untuk perlawanan dengan City, saya percaya mereka akan memilih tarikh yang sesuai dan ia sukar buat kami untuk menentang mereka.

"Kemudian kami akan beraksi dalam Liga Europa, ia merupakan aksi berterusan. Jika kami mara, ia akan menjadi sangat sukar tapi kita tengoklah nanti."

Pemenang perlawanan awal pagi esok akan bertemu Southampton -- yang menyingkirkan Liverpool -- dalam perlawanan akhir EFL.