Anthony Martial bukan sasaran perpindahan Bayern Munich, kata ketua eksekutif kelab, Karl-Heinz Rummenigge.

Martial dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Bundesliga itusetelah gagal mendapat tempat di Manchester United apabila hanya diturunkan dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu berikutan kedatangan Alexis Sanchez pada Januari.

Bayern kononnya dilaporkan sedang mempertimbangkan perjanjian untuk memburu bekas tonggak AS Monaco itu, namun Rummenigge menafikannya.

"Kami mempunyai empat pemain sayap: Franck Ribery, Arjen Robben, Kingsley Coman dan Serge Gnabry," kata Rummenigge kepada Bild.

"Alphonso Davies juga akan tiba pada Januari nanti. Anda tidak perlu keterlaluan seperti beberapa kelab yang lain atau anda akan mencetuskan masalah kepada jurulatih," katanya.

Martial dipinggirkan daripada skuad Perancis yang menyaksikan skuad kendalian Didier Deschamps itu menjuarai temasya Russia 2018.

Pemain berusia 22 tahun itu turut meninggalkan kem pra-musim United di Amerika Syarikat (AS) demi menyambut kelahiran anaknya sehingga mengundang kekecewaan pengurus, Jose Mourino.

Dia kemudian menerangkan situasi itu melalui Twitter bahawa dia sedang menemani pasangannya yang mengalami sedikit masalah kesihatan dan kini dalam keadaan stabil.

"Maaf, tetapi keluarga saya akan selalu menjadi keutamaan... Saya akan kembali ke Manchester, esok," tulisnya kelmarin.