Mansuhkan peraturan ofsaid -- Van Basten

By Amirul Azreen 19 January 2017
Mansuhkan peraturan ofsaid -- Van Basten

Mengehadkan pemain kepada 60 perlawanan setahun, menggantikan sepakan penalti dengan larian lapan saat sebelum melakukan sepakan, memperkenalkan kad berwarna jingga bagi mengeluarkan pemain untuk tempoh 10 minit -- demikian antara cadangan yang telah dikemukakan Pengarah Teknikal FIFA, Marco Van Basten.

Bekas penyerang AC Milan dan Belanda itu telah mencetuskan perdebatan sejak dilantik pengarah teknikal badan induk bola sepak dunia itu pada September tahun lalu.

Terbaru, dia mencadangkan agar peraturan ofsaid dimansuhkan.

"Aksi bola sepak akan menjadi lebih menarik jika tiadanya peraturan ofsaid. Bola sepak ketika ini seperti perlawanan bola baling di mana sembilan hingga 10 pemain berada di dalam kotak penalti ketika bertahan. Jika tiada peratuarn ofsaid, setiap pasukan mendapat peluang banyak untuk menjaringkan gol," jelasnya.

Menafikan dakwaan bahawa dia menggunakan jawatannya untuk mengganggu arena bola sepak, Van Basten menegaskan bahawa dia sedang mencari jalan terbaik untuk memastikan bola sepak kekal antara sukan paling popular di muka dunia.

"Saya telah bercakap dengan ramai pemain dan jurulatih," ujarnya. "Kami perlu mempromosikan kualiti dan bukannya kuantiti. Terlalu banyak perlawanan dimainkan setiap tahun, kita perlu melindungi pemain kerana mereka bermain dalam banyak perlawanan."

The Independant melaporkan Van Basten tidak bersetuju jika pemain terpaksa beraksi sehingga 76 hingga 80 perlawanan setahun dan mencadangkan agar angka itu diturunkan di antara 50 dan 60 perlawanan.

Bekas pemenang Anugerah Pemain Terbaik Dunia 1992 itu turut mahu setiap pasukan bola sepak di dunia mempunyai hak untuk bersuara dan bukannya membiarkan setiap perlawanan diatur oleh kelab yang kaya.

"Kita tidak boleh membiarkan sukan bola sepak ditentukan oleh pasukan yang mempunyai kuasa dan wang.

"Kelab gergasi seperti Paris Saint-Germain, Manchester City dan Real Madrid memiliki segalanya. Dalam bola sepak, kamu memerlukan saingan kerana jika kamu membiarkan satu atau dua kelab mengawal segalanya, maka tidak akan wujud lagi persaingan."

Sementara itu, Van Basten turut mencadangkan agar penambahan 30 minit selepas aksi 90 minit berakhir ketika di peringkat kalah mati dimansuhkan.

Sebaliknya, dia mahu perlawanan terus dibawa ke penentuan sepakan penalti.

"Pemain perlu memulakan sepakan 25 meter dari gawang, kemudian membawa bola melepasi penjaga gol atau terus merembat deras ke gawang sebaik memasuki kotak penalti. Semua ini perlu dilakukan dalam tempoh lapan saat. Senario itu lebih dramatik dan akan mencabar skil seseorang pemain."


About Author

Amirul Azreen

Comment