Penyerang Liverpool, Sadio Mane, menegaskan dia tidak pernah meragui kemampuannya meskipun prestasinya menurun untuk mencerahkan peluang mereka ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Mane menghasilkan prestasi terbaiknya dengan melakar hatrik ketika membenam Porto 5-0 dalam aksi pertama mereka di tempat lawan, semalam.

Prestasi pemain antarabangsa Senegal itu dipersoalkan musim ini, begitupun pemain berusia 25 tahun itu menegaskan dia sentiasa mempercayai kemampuannya.

"Secara jujur, saya sangat gembira untuk menjaringkan tiga gol. Ia sukar tetapi ia adalah sebahagian daripada bola sepak dan ia boleh berlaku," kata Mane.

"Saya tidak pernah meragui usaha saya untuk membantu pasukan dan setiap hari saya tidak pernah berhenti bekerja keras dalam latihan."

Mane kini menjaringkan 12 gol musim ini, pencapaian yang lebih baik daripada kempen terakhirnya.

Bekas bintang Southampton itu berharap dia dapat terus menyumbang kepada Liverpool yang akan mengalu-alukan Porto di Anfield pada 6 Mac nanti.

"Sebagai pemain, kadang-kadang ia tidak mudah, saya tidak pernah meragui diri sendiri kerana saya tahu saya boleh membantu pasukan," katanya lagi.

"Kami mempunyai permainan yang lebih penting dalam beberapa minggu akan datang dan kami perlu bersedia untuk itu."