Kurang daripada 10 hari lagi untuk Sadio Mane kembali turun berlatih selepas menjalani pembedahan lutut.

The Reds mendedahkan perkembangan pemain berusia 25 tahun itu selepas mengesahkan pemulihannya berjalan lancar.

Mane menjalani pembedahan lutut pada April lalu selepas ditimpa kecederaan dalam kemenangan 'derby' ke atas Everton.

Sehubungan itu, pemain Senegal berkenaan terpaksa melupakan kempen memberangsangkannya lebih awal selepas mencetak 13 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan lima bantuan gol dalam 27 perlawanan.

"Penyerang itu berada di Melwood untuk menjalani rawatan bersama pasukan perubatan sepanjang musim panas ini," demikian menurut satu kenyataan Liverpool.

"Pelan pemulihannya berjalan lancar dan keadaan Mane kelihatan bagus dengan dia sudah melengkapkan sesi di padang dalam usahanya untuk pulih."

Liverpool mengatur lapan perlawanan persahabatan pada bulan depan sebagai persediaan menghadapi aksi play-off kelayakan Liga Juara-Juara Eropah manakala pertemuan dengan Tranmere Rovers dan Wigan Athletic, minggu depan, dianggap terlalu awal buat Mane.

Liverpool juga akan terlibat dengan Trofi EPL Asia pada 19 Julai ini.