Pembedahan bahagian tangan melibatkan penggempur Liverpool, Sadio Mane, telah selesai dijalankan selepas dia mengalami kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan Senegal dan berita itu diumumkan kelab Liga Perdana Inggeris itu, semalam.

Mane dilaporkan patah tulang jari ketika sesi latihan bersama skuad Senegal untuk mempersiapkan diri berdepan aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika bertemu Sudan, Selasa lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu kembali ke Merseyside untuk menjalani pembedahan, membuatkannya masih belum pasti sama ada beraksi dalam kunjungan ke Huddersfield Town, hujung minggu ini.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berharap penyerang itu dapat diturunkan setelah aksi antarabangsa membuatkan Mohamed Salah dan Naby Keita mengalami masalah kecederaan paha.

"Pembedahan yang dijalankan di hospital dan dipantau oleh pihak perubatan kelab telah selamat dijalankan," kata wakil Liverpool.

"Proses pemulihan Mane akan dipantau dalam beberapa hari menjelang aksi Liga Perdana Inggeris berdepan Huddersfield, Sabtu ini."

Selain Salah, Keita dan Mane, Virgil Van Dijk turut mengisi senarai kecederaan Liverpool walaupun pengendali Belanda, Ronald Koeman, yakin bek tengah itu tidak akan terkesan dengan masalah bahagian tulang rusuk sehingga menyebabkannya terlepas aksi bersama kelab.