Sadio Mane telah memohon maaf kepada penjaga gol Manchester City, Ederson, selepas dia dilayangkan kad merah apabila melakukan terjahan yang berbahaya.

Mane diarahkan meninggalkan padang selepas ketinggalan 1-0 hasil jaringan pembukaan Sergio Aguero di Stadium Etihad dan skuad kendalian Jurgen Klopp mengalami mimpi buruk apabila tewas 5-0 selepas penyerang itu dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Jon Moss.




Mane, yang berdepan penggantungan tiga perlawanan di samping Liverpool tidak bercadang untuk melakukan rayuan, memohon maaf kepada Ederson menerusi laman sosial walaupun menegaskan dia tidak sengaja melakukan terjahan itu.

"Saya berharap Ederson akan segera pulih sepenuhnya," kata Mane menerusi laman Facebook.

"Saya memohon maaf kerana mencederakannya ketika beraksi dan memohon maaf kerana tidak dapat menyempurnakan perlawanan ini."