Bintang Liverpool, Sadio Mane, mendedahkan bahawa ibu-bapanya memberitahunya bahawa kerjaya bola sepak adalah "membuang masa" sehinggalah dia menandatangani kontrak sulungnya.

Mane, 26, telah berkembang menjadi salah seorang anggota utama jentera serangan berbahaya Liverpool di samping Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Bagaimanapun, pemain Senegal itu berkata ibu-bapanya tidak pernah menaruh kepercayaan dengan kerjaya dalam bola sepak serta mendesaknya untuk cuba menjadi seorang guru.

"Saya dilahirkan di sebuah kampung di mana tidak pernah seorang pun yang pernah bermain dalam kejohanan utama," kata Mane kepada Bleacher Report.

"Saya masih ingat lagi ketika saya masih kecil. Ibu bapa saya berpendapat saya harus belajar untuk menjadi seorang guru. Mereka fikir bola sepak adalah perkara yang membuang masa dan saya tidak akan berjaya.

"Saya selalu berkata: 'Ini satu-satunya pekerjaan yang akan membolehkan saya membantu anda dan saya fikir saya mempunyai peluang untuk menjadi pemain bola sepak.'

"Mereka tidak pasti mengenainya kerana saya terpaksa berjauhan dengan mereka selain hampir tiada seorang pun penduduk kampung saya yang berjaya. Jadi, mereka menentang idea itu dan mereka tidak pernah mempercayainya sehinggalah pada hari saya menandatangani kontrak profesional pertama," katanya.

Mane menandatangani perjanjian pertamanya pada 2011, iaitu ketika menyertai Metz sebelum berpindah ke Red Bull Salzburg dan Southampton, kemudian beralih ke Liverpool.

Pemain sayap itu berkata, ibu-bapanya akhirnya menerima pilihan kerjayanya dan menyokong keputusannya.

"Bagi mereka, ia sesuatu yang mustahil. Mereka tidak bersalah kerana ia seperti tidak masuk akal tetapi saya mahu merealisasikan impian menjadi pemain bola sepak," kata Mane.

"Saya telah mencurahkan segala-galanya sehingga pada suatu ketika, mereka lagi tidak mempunyai pilihan melainkan mula membantu dan ia berhasil. Hari ini, mereka semua berbangga."

Mane telah meledak empat gol dalam kesemua perlawanan awal Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini menjelang kunjungan Liverpool ke Tottenham, Sabtu ini.