Manchester United mengemukakan permohonan kepada Persatuan Bolasepak England (FA) untuk menubuhkan sebuah pasukan profesional wanita.

Jika berjaya, pasukan itu akan berpusat di tapak latihan Cliff di Salford selain menyertai divisyen dua Liga Super Wanita (WSL2).

United tidak mempunyai pasukan wanita sejak 2005 tetapi masih aktif terlibat dengan golongan pemain muda wanita dalam lawatan ke sekolah-sekolah tempatan dan kumpulan masyarakat.

Ketua Eksekutif United, Ed Woodward, memberitahu laman sesawang rasmi kelab itu: "Kami gembira untuk mengumumkan bahawa kelab bercadang untuk menubuhkan sebuah pasukan wanita profesional yang pertama dan telah mengemukakan permohonan untuk menyertai WSL2.

"FA telah memberikan sokongan yang sangat baik melalui proses ini dan kami percaya dengan melancarkan sebuah pasukan dalam WSL2 dapat memastikan lebih ramai graduan Kelab Bakat Serantau membentuk diri mereka sebagai pemain pasukan pertama.

"Pasukan wanita Manchester United harus dibina dengan imej dan prinsip yang sama dengan pasukan utama lelaki selain menawarkan pemain akademi laluan ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.