ARSENAL 0 MANCHESTER CITY 3

Hasrat Arsenal untuk sekurang-kurangnya merapatkan diri dengan pasukan tangga kelima, Chelsea, lebur apabila tewas 3-0 di tangan Manchester City dalam aksi liga di Emirates, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Arsene Wenger itu turun di hadapan penyokong sendiri dengan keazaman untuk menebus kekalahan kepada lawan sama, setelah tumpas, juga dengan keputusan sama, di pentas final Piala EFL, hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, cita-cita itu ibarat direntap apabila Bernardo Silva bijak melencongkan bola melepasi Petr Cech dan menerjah jaring tatkala perlawanan baru berusia 15 minit.

Penyerang England, Danny Welbeck, dijatuhkan di depan kotak penalti oleh Nicolas Otamendi sehingga menyebabkan pertahanan Argentina itu dilayangkan kad kuning pertama perlawanan pada minit ke-19, namun The Gunners terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma itu apabila tendangan Granit Xhaka ditepis keluar Ederson Moraes.

Sebaliknya, pelawat yang menambah jaringan sembilan minit kemudian, kali ini menerusi pemain tengah Sepanyol, David Silva.

Tindakan Sergio Aguero memperdayakan tiga pertahanan untuk melorongkan bola buat bekas pemain Valencia itu membolehkannya mudah menewaskan Cech untuk meletakkan City selesa dengan kedudukan 2-0.

City seakan-akan begitu selesa dengan setiap percaturan di Emirates apabila giliran Leroy Sane meletakkan nama dalam senarai penjaring lima minit selepas itu apabila menyempurnakan hantaran lintang Kyle Walker dari sebelah kanan.

Penyerang yang baru tiba dari Borussia Dortmund pada Januari lalu, Pierre-Emerick Aubameyang, berpeluang untuk merapatkan jurang buat tuan rumah selepas lapan minit babak kedua bersambung, namun Ederson tangkas menepis bola tendangannya.

Segalanya tampak tidak menjadi buat anak-anak buah Wenger dan kedudukan 3-0 itu kekal sehingga tamat aksi, meletakkan The Gunners terus di tangga keenam liga dengan 45 mata, lapan mata di belakang Chelsea yang menduduki tangga kelima.