Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, melabel Manchester City "pasukan paling sukar untuk disaingi" di England, namun tetap bersedia untuk berdepan skuad kendalian Pep Guardiola itu.

Klopp dan Guardiola sebelum ini sering bertemu ketika mengendalikan Borussia Dortmund dan Bayern Munich -- pengendali dari Jerman itu menjangkakan satu pertembungan sengit ketika The Reds berkunjung ke Stadium Etihad.

City kini menduduki tangga ketiga, hanya memiliki kelebihan satu mata ke atas Liverpool, malah tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) selepas tewas 3-1 kepada Monaco.

"Ini merupakan perlawanan penting. Saya tidak ingat perlawanan mana yang tidak penting dalam Liga Perdana Inggeris (EPL)," kata Klopp.

"Kami menyedari kualiti yang dimiliki Manchester City. Saya berpendapat gaya permainan mereka berdepan Monaco cukup menarik.

"Saya tidak berasakan kami adalah pasukan pilihan.

"Tetapi saya tidak sabar menanti perlawanan ini, ia adalah satu cabaran taktikal buat diri saya."