Riyad Mahrez mengucapkan terima kasih kepada Leicester City selepas melengkapkan perpindahannya ke juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu mengumumkan ketibaan Mahrez, pemain yang hampir tiba ke Etihad pada Januari lalu, menerusi perpindahan bernilai RM320 juta.

Mahrez tiba di Leicester pada 2014 sebelum memainkan watak penting sewaktu The Foxes menjuarai Liga Perdana Inggeris musim 2015/16 dan menjaringkan 17 gol.

Bintang Algeria itu mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan kepada bekas majikannya melalui laman Twitter rasmi miliknya.

"Kepada semua peminat Leicester, kita mempunyai kenangan dan sejarah yang hebat," kata Mahrez.

"Memenangi Liga Perdana Inggeris adalah sesuatu yang luar biasa dan ia tidak akan berlaku tanpa sokongan hebat anda untuk saya dan juga pasukan.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada anda kerana mengalu-alukan kehadiran saya ketika mula tiba di sini dan sentiasa memberi kepercayaan untuk mencapai apa yang dimiliki bersama-sama.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih buat rakan sepasukan, staf serta semua individu yang berada di dalam kelab kerana menjadi sebahagian besar dalam hidup saya dalam beberapa tahun ini.

"Kini, tiba masa untuk saya berhijrah dan mencuba sesuatu yang telah saya perkembangkan tetapi saya akan sentiasa mengingati anda. Terima kasih, terima kasih, terima kasih," tambahnya.