Riyad Mahrez tidak akan menyertai skuad Leicester City menjelang kunjungan ke Etihad
esok untuk menentang Manchester City, kelab yang gagal disertainya ketika jendela perpindahan
bulan lalu.


The Foxes dilaporkan menuntut yuran perpindahan GBP95 juta (RM520 juta) sekiranya mahu melepaskan Mahrez, namun permintaan itu ditolak The Citizens.

Situasi itu membuatkan Mahrez tidak mahu beraksi buat Leicester dan sehingga kini, dia
dilaporkan masih belum menyertai sebarang sesi latihan.

Pengendali pasukan, Claude Puel, menjelaskan bintang Algeria itu tiada dalam perancangannya pada hujung minggu ini tetapi menggesanya kembali menyertai pasukan dengan segera.

"Saya rasa Mahrez tidak akan beraksi menentang City. Saya berharap dia dapat menenangkan diri dan kembali menyertai skuad. Apa yang terbaik adalah kembali dan nikmati aksi bola sepaknya.

"Mahrez adalah pemain yang hebat. Dia cintakan bola sepak, memiliki hubungan yang baik dengan rakan sepasukan dan menikmati aksinya sendiri.

"Apa yang penting, dia perlu kembali," kata Puel.

Walaupun tanpa Mahrez, Leicester tetap menampilkan aksi menarik sehingga membuatkan Puel gembira dengan prestasi pasukannya walaupun kehilangan khidmat Shinji Okazaki akibat kecederaan lutut.

"Saya teruja melihat sesi latihan yang penuh dengan kualiti daripada setiap pemain.

"Kami sedar ia adalah situasi yang sukar tetapi kami harus terus mara ke hadapan dan bekerja keras.

"Okazaki mengalami sedikit kecederaan. Dia berdepan masalah dengan lutut dan akan direhatkan selama dua minggu," tambahnya.