Brendan Rodgers berkata masih tiada sebarang perubahan berkaitan masa depan Harry Maguire di Leicester City.​

Pemain pertahanan, Maguire, terus dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dan Manchester City tatkala The Foxes menolak dua bidaan awal untuk pemain itu.

Maguire, yang bermula dalam perlawaqnan pramusim di Stoke City semalam dilaporkan diletakkan tanda harga £80 juta (RM408 juta) oleh The Foxes.

Tatkala jendela perpindahan bakal berakhir dalam tempoh kurang daripada dua minggu, pengurus Leicester, Rodgers, mendedahkan situasi yang dialami pemain berusia 26 tahun itu.

"Dia cemerlang sejak hari pertama pramusim lagi," ujar Rodgers mengenai bek tengah England itu.

"Terdapat banyak spekulasi melibatkan Harry tetapi dia tidak memikirkannya. Seperti yang sering saya katakan, kami tenang mengenai perkara itu.

"Kami mahu mempersiapkan seluruh pasukan dan Maguire merupakan sebahagian daripadanya. Dia cemerlang dan bekerja keras.

"Tiada sebarang perbincangan. Saya tahu anda mahu mendapatkan maklumat terbaru tetapi tiada perubahan berbanding hari-hari lain."

Sebelum ini, Rodgers menjelaskan Leicester tidak mempertimbangkan sebarang bidaan buat Maguire memandangkan kelab kekurangan masa untuk mendapatkan pengganti.

"Saya tidak fikir tentangnya lagi," tambah Rodgers.

"Kami mempunyai dua minggu untuk menjengah pasaran bagi semua pemain. Saya rasa ia hanya jika semua orang kekal fokus."