Jurgen Klopp menolak idea Liverpool akan kembali mengikat Philippe Coutinho memandangkan The Reds tidak mampu untuk menandatangani bintang Barcelona itu semula.

Coutinho berpindah ke Barcelona pada Januari 2018 dengan bayaran mencecah €160 juta (RM733.9j), namun pemain Brazil itu kembali dikaitkan dengan perpindahan.

Pemain berusia 27 tahun itu bergelut untuk mengukuhkan tempat dalam kesebelasan utama Barca di tengah-tengah rasa tidak puas hati peminat di Camp Nou selepas dia hanya menyumbang lima gol daripada 22 aksi LaLiga.

Idea kepulangannya ke pangkuan juara bertahan Liga Juara-Juara (UCL) itu, bagaimanapun, ditolak pengurus berkenaan walaupun pada masa yang sama, memuji bekas penyerang sensasinya itu.

"Umumnya, Phil Coutinho telah membantu setiap pasukan di dunia -- saya 100 peratus pasti mengenainya," kata Klopp kepada ESPN FC.

"Tetapi bukan itu sahaja.

"Saya sukakan Phil. Saya fikir dia seorang pemain bola sepak yang hebat dan untuk itu, usaha mendapatkannya akan menuntut kos yang tinggi dan kami tidak akan melakukannya tahun ini.

"Ia tidak mungkin terjadi. Seperti yang saya katakan, dia akan membuatkan setiap pasukan yang diwakilinya menjadi lebih baik -- termasuk kami -- namun saya sangat berharap nasibnya di Barcelona akan berubah.

"Atau mungkin dia sudah menemuinya di sana. Kami ada berhubung tetapi tidaklah terlalu rapat sehinggakan saya boleh tahu dengan tepat keadaan semasanya. Selain daripada itu, ia tidak lebih sekadar laporan di akhbar.

"Sekiranya apa yang ditulis di akhbar mengenai saya adalah tepat -- jika ia serupa dengan apa yang mereka ulas mengenai saya -- maka saya harus mengatakan Phil kini benar-benar gembira di Barcelona dan mahu menandatangani kontrak enam tahun atau perkara seumpamanya."

Klopp turut menafikan Liverpool sedang mempertimbangkan untuk memancing bintang Real Madrid, Gareth Bale, kerana menganggap gaji pemain Wales itu terlalu mahal.