Lyon mengumumkan ia berjaya mendapatkan penyerang muda Chelsea, Bertrand Traore, dengan bayaran perpindahan mencecah GBP10 juta (RM54 juta).

Pemain antarabangasa Burkina Faso itu telah dipinjamkan ke Ajax musim lalu dan berjaya menyumbat sembilan gol di samping menambah empat gol di pentas Liga Europa.

Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu bertekad melepaskan diri daripada genggaman The Blues, lantas memilih menyertai Lyon.

Traore sebelum ini menghabiskan dua musim terakhir bersama Vitesse di Belanda dan hanya membuat empat penampilan bersama Chelsea dengan kali terakhir melakukannya pada Mei tahun lalu.

Sementara itu, pengendali Lyon, Bruno Genesio, sedang bekerja keras bagi memastikan penyerang utama, Alexandre Lacazette, kekal di kelab itu meskipun timbul aporan pemain itu menjadi sasaran Arsenal.

"Dia memiliki kepantasan dan mampu mencipta peluang jaringan. Dia juga mampu beraksi di bahagian sayap," ujar Genesio.

Selepas beraksi bersama Ajax yang memiliki skuad muda berbakat besar, Traore percaya Lyon menjadi destinasi terbaik buatnya meningkatkan permainan.

"Apa yang meyakinkan saya untuk berhijrah ke Perancis adalah corak permainan dan falsafah pasukan ini," kata Traore.