Penyerang Belgium, Romelu Lukaku, mengucapkan selamat tinggal kepada Everton serta penyokongnya selepas perpindahan ke Manchester United dilihat bakal selesai dalam beberapa hari lagi.

Lukaku, yang baru menjalani ujian kesihatan di Los Angeles semalam, dijangka melengkapkan perpindahan bernilai GBP75 juta (RM415 juta) ke Old Trafford dalam minggu ini.

Penyerang berusia 24 tahun itu berada di tangga kedua senarai penjaring terbanyak dalam liga musim lalu selepas menjaringkan 25 gol, tiga gol di belakang pemenang, Harry Kane.

“Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang terlibat di Everton, termasuk penyokong yang sentiasa memberikan sokongan di sepanjang empat tahun saya di Goodison Park dan ia adalah satu penghormatan buat saya,” kata kenyataan daripada akaun laman sosial Instagram milik Lukaku.

“Terima kasih kerana menjadikan saya pemain yang lebih bagus dan setiap nasihat yang diterima akan diingati sepanjang karier saya. Terima kasih Everton,” tambahnya.

Sejak meninggalkan Chelsea empat tahun lalu, Lukaku telah menjaringkan 71 gol dalam semua kejohanan buat Everton.