Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, tidak berdepan masalah untuk bersaing dengan Zlatan Ibrahimovic bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad The Red Devils.

Lukaku pantas memberikan impak besar buat United sejak tiba dari Everton pada musim panas baru-baru ini apabila menjaringkan tiga gol hasil daripada tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, dia berdepan dengan persaingan daripada Ibrahimovic yang kembali ke Old Trafford melalui kontrak baru selama setahun selepas pulih daripada kecederaan lutut.

"Sudah tentu kehadiran Ibrahimovic mampu meningkatkan kualiti permainan saya. Anda tidak perlu takut dengan persaingan.

"Selagi ia boleh membantu anda, memberikan anda kemenangan, anda sentiasa mahukan cabaran.

"Saya rasa kehadiran semula Ibrahimovic adalah sesuatu yang bagus untuk pasukan. Sesuatu yang hebat untuk memiliki seorang pemain yang sentiasa dahagakan kejayaan, itu yang diperlukan oleh Manchester United.

"Dengan perwatakan dan kebolehannya, saya yakin dia akan menjanjikan sesuatu untuk pasukan dan kami akan membantunya," ujar Lukaku.