Jose Mourinho optimis Romelu Lukaku akan kembali beraksi bagi perlawanan final Piala FA berdepan Chelsea walaupun terlepas kunjungan Manchester United berdepan Brighton and Hove Albion.

Penyerang itu digantikan ketika United merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Arsenal minggu lalu selepas terlibat dengan pelanggaran dengan Konstantinos Mavropanos.

United enggan mengambil risiko dengan menurunkannya dalam aksi di Stadium Amex tetapi Mourinho yakin Lukaku akan beraksi di Wembley, 19 Mei ini.

"Buat masa ini, dia perlu menjalani proses pemulihan. Tetapi dia akan beraksi dalam final," kata Mourinho.

Mourinho menegaskan beliau gembira di atas kejayaan David de Gea memenangi anugerah Pemain Terbaik United buat kali keempat dalam tempoh lima tahun.

Pengendali kelahiran Portugal itu telah menyifatkan "sesuatu yang tidak kena" melihat seorang penjaga gol memenangi anugerah ini berulang kali.

Bagaimanapun, Mourinho menjelaskan bahawa lebih banyak penjaga gol harus diberikan penghormatan dalam undian Ballon d'Or dan memuji tampanan "cantik" dan "ikonik" De Gea bagi musim ini.

"Ia amat baik. Tetapi di peringkat antarabangsa, kurang pengiktirafan yang diberikan kepada penjaga gol. Mereka adalah asas kepada sesebuah pasukan bola sepak.

"De Gea mengharungi musim yang baik -- dia mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim, menampan beberapa percubaan yang berbahaya, cantik dan menakjubkan," katanya.